Thursday, 11 June 2009

Ayat Kedua Surah al-Baqarah

ذلــك الكتاب لا ريـب فيه هدى لــلمتقيــن


Kesalahan yang biasa berlaku dalam ayat ini adalah seperti berikut:

1) Huruf "ذ", sebagaimana yang diberitahu sebelum ini, tempat keluar bagi huruf "dhal" ialah hujung lidah, iaitu dengan cara meletakkan hujung lidah antara dua gigi hadapan yang atas dan bawah. Jika tidak dilakukan sedemikian huruf ini akan bertukar menjadi sebutan huruf "ز".


2) Huruf "ل" yang berbaris di bawah pada dua perkataan "ذلك" dan "للمتقين". Pembaca perlu berhati-hati semasa menyebut huruf "lam" yang berbaris dibawah, jika tidak sebutannya menjadi tidak tepat dan bunyinya bercampur seperti huruf "ن" yang berbaris di bawah.


3) Jika kita perhatikan pada ayat ini terdapat tanda "bintang 3". Bintang tiga ini bermaksud pembaca diberi pilihan samada ingin berhenti pada bintang tiga yang pertama atau pun kedua. Tetapi perlu diingatkan jika kita memilih berhenti bintang tiga yang pertama kita tidak lagi perlu berhenti pada bintang 3 yang kedua. Dan jika kita memilih untuk berhenti pada bintang tiga yang kedua, kita tidak lagi perlu berhenti pada bintang tiga yang pertama. Dalam membaca ayat ini saya mengikut jejak guru saya Syeikh Abdullah Jawhari yang memilih untuk berhenti pada bintang tiga yang kedua.


4) Ramai pembaca melakukan kesalahan tajwid ketika membaca "idgham bila ghunnah". Idgham bila ghunnah ialah apabila tanwin atau pun nun mati bertemu dengan huruf "lam" atau pun 'ro". Pada ayat "هدى للمتقين" terdapat tanwin di atas huruf "د" dan selepasnya pula terdapat huruf "ل". Bacaan yang sebetulnya ialah seperti berikut "hudallilmuttaqin" dan bukannya "hudan lilmuttaqin". Tanwin tersebut perlu dimasukkan terus ke dalam huruf "lam" dengan tidak perlu didengunkan sama sekali. Jadi berhati-hati apabila bertemu dengan kes yang seperti ini. :)

Thursday, 21 May 2009

Ayat Pertama Surah al-Baqarah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
جمعة مباركة
ألــــــم
Ayat pertama ini hanya terdiri daripada 3 huruf sahaja. Cara menyebutnya saya rasa semua orang sedia maklum. Huruf "أ" cara menyebut ialah "alif". Huruf "ل" cara menyebutnya ialah "laaaaaam" iaitu dengan dipanjangkan dengan kadar 6 harakat. huruf "م" pula cara sebutannya adalah "miiiiiim" iaitu dengan di panjangkan dengan kadar 6 harakat (gerak jari).
Jadi sebutan bagi ayat ini ada seperti berikut "Alif Laaaaaammm Miiiiiim". Huruf "أ" tidak perlu dipanjangkan sama sekali. Sebaik sahaja seorang pembaca selesai menyebut huruf "Miiiiim" dan sebelum menyebut huruf "Laaaaam" hendaklah seseorang pembaca membaca dengan dengung dengan kadar 2 harakat. Jadi sebutan sebetulnya bagi ayat ini ialah "Alif (tidak perlu dipanjangkan, Laaaaaam (perlu dipanjangkan dengan kadar 6 harakat,seterusnya diikuti dengan dengung sebanyak dua harakat, Miiiiiim yang dibaca dengan panjang 6 harakat.
Kesalahan yang biasa terjadi pada ayat ini ialah
1) Tidak memanjangkan sebutan huruf "ل" dan "م" dengan kadar yang sepatutnya.
2) Meninggalkan dengung yang sepatutnya dibaca pada akhir sebutan huruf "ل" dan sebelum sebutan huruf "م"
3) Kesalahan yang ketiga ini amat jarang saya temui. Sepanjang saya mengajar al-Quran hanya sekali sahaja. Iaitu ada seorang pembaca yang membaca ayat ini seperti berikut "ALAAAAAAM". Ini hanya satu kes terpencil dan saya harap tidak ada pembaca yang melakukan kesalahan yang dikira satu kesalahan yang amat memalukan :).

Saturday, 16 May 2009

Sambungan Ayat Ketujuh

Assalamualaikum....

Kesalahan Pertama: Sebutan "غ" pada kalimah "غير", bunyinya "ghoyr" bukannya "ghary".


Kesalahan Kedua: Juga huruf yang sama tetapi pada perkataan "المغــضوب". Kesalahan ini agak sukar dikesan, sebutan "غ" yang mati perlu ditebalkan. Cara menebalkan huruf "غ" ini perlu kepada tallaqqi dan mushafahah dari guru-guru yang benar-benar mengetahui cara-cara menyebutnya dengan cara yang tepat.


Kesalahan Ketiga: Sebutan huruf "ض". Berhati-berhati semasa menyebut huruf ini agar tidak menyerupai sebutan huruf "د" atau pun "ظ" samada pada perkataan "المغضوب" atau pun perkataan "الضالين".


Kesalahan Keempat: Semasa menyebut perkataan "الضالين". AWAS....terlalu ramai mereka yang kurang mengambil berat semasa menyebut kalimah ini, akibatnya berlakulah kesalahan samada disedari mahupun tanda sedar. Kalo kita perhatikan huruf "ض" pada kalimah ini, di atasnya terdapat tanda panjang, ini bermakna sebutannya perlu dipanjangkan sehingga enam harakat. Enam harakat ini cara membilangnya ialah dengan mengunakan jari tangan, samada harakat tersebut dibilang dengan cara membuka jari atau pun menutupnya (mengenggam jari satu persatu, ini lebih mudah). Perlu diingatkan kepada pembaca al-Quran, jika sekiranya kita membaca al-Quran dengan cara yang sederhana, maka cara menggerakkan jari juga adalah secara sederhana, jika kita membaca laju maka cara bilangan harakat juga adalah laju.


Kesalahan Kelima: Masih lagi pada perkataan yang sama, tetapi pada sebutan huruf "ل". Huruf "lam" yang bertashdid (bersabdu) perlu diberikan haknya semasa kita menyebutnya. Ini kerana lam yang bersabdu asalnya merupakan dua huruf lam, lam yang pertama mati dan lam yang kedua berbaris. Justeru itu kita perlu kedua-duanya dengan cara yang tepat. Ini memerlukan bimbingan dari guru-guru al-Quran yang benar-benar menguasai cara sebutannya.




KESIMPULAN: Kesalahan ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mempelajari dan mengajar al-Quran. Namun sebenarnya, mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang tidak saya nyatakan disini, kerana bacaan seseorang individu dengan individu yang lain memang tidak sama. Kita dapati ada sesetengah pembaca dapat menyebut sesuatu huruf dengan begitu mudah sekali, tetapi bagi individu yang lain sebutannya begitu sukar. Namun semuanya bergantung kepada individu. Hendak seribu daya, tanak memang buat-buat alasan tak ada daya. Kita juga perlu berlapang dada untuk menerima teguran dari mereka yang lebih arif dalam bidangnya, tak perlu merasa malu, segan dan apa-apa saja perasaaan yang boleh menghalang kita dari menguasai bacaaan al-Quran dengan sebaiknya. Apa yang pasti, jangan kita merasa syok sendiri, bagi saya sesiapa yang tidak penah membelajari al-Quran bacaannya memang tidak akan betul sampai bila-bila. ALANGKAN MALANGNYA KALO KITE BOLEH BERABUK CAIR CAKAP INGGERIH TAPI BACA AL-QURAN KOK KAK KOK KAK. MALU DEH....RENUNGKAN-RENUNGKAN LAH........ANDA MAMPU MENGUBAHNYA......

Monday, 4 May 2009

Ayat Ketujuh Surah al-Fatihah

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Untuk ayat ini saya akan bahagikan kepada dua, bagi memudahkan para pembaca memahaminya dengan cara yang lebih mendalam.
Kesalahan pertama: Pada perkataan صراط , perlu berhati-hati semasa menyebut huruf "sod" pada perkataan "صراط", jangan bertukar sebutannya dengan huruf sin "س".
Kesalahan kedua: Sebutan huruf ر pada pada perkataan "صراط". Huruf "ر" yang berbaris di atas bunyinya adalah "ro" bukannya "RA".
Kesalahan ketiga: Sebutan huruf "ذ" juga pada perkataan "الذين". KESALAHAN semasa menyebut huruf ini amat kerap berlaku di kalangan pembaca al-Quran. Mungkin 80% tidak menyebutnya dengan cara yang betul atau mungkin lebih dari itu. Huruf "ذ" tempat keluarnya adalah dari hujung lidah iaitu dengan cara meletakkan hujung lidah di antara dua gigi hadapan sebelah atas dan bawah. Untuk menyebutnya dengan cara yang betul memerlukan kita mendengar sebutan dari mulut seseorang guru al-Quran. Pembaca boleh merujuk kepada rajah makhraj huruf dalam posting saya yang lepas.
Biasanya kita akan menyebut huruf "ذ" sama seperti huruf "ز" sedangkan kedua-duanya keluar dari tempat yang berbeza, jadi sudah pasti bunyinya juga berlainan. Pembaca perlu memberi penekanan yang lebih kepada huruf "ذ" semasa membaca al-Quran bagi mengelakkan berlakunya kesilapan yang saya nyatakan.
Kesalahan keempat: Kesalahan semasa membaca al-Quran tidak sama antara seorang pembaca dengan yang lain. Ada huruf agar mudah untuk kita menyebutnya tetapi pada masa yang sama ianya agar sukar dituturkan oleh orang lain. Perkataan "أنعمت", ada yang agar tersasul ketika menyebut huruf "أ" sehingga menyerupai sebutan huruf "ع". Pembaca juga perlu berhati-hati semasa menyebut huruf "ن" yang mati pada perkataan ini. Pastikan sebutannya adalah nun yang mati dan bukannya MIM yang mati.
Kesalahan kelima:"عليهم", Pastikan kita menyebut huruf lam yang berbaris di atas yang selepasnya terdapat huruf "ي" yang mati dengan cara yang tepat. Sebutan yang tidak cermat menyebabkan bunyi huruf lam yang berbaris di atas bercampur dengan huruf lam yang berbaris di bawah. Berhati-hatilah.
Kesalahan keenam: "هـ" yang berbaris dibawah terutamanya jika diikuti dengan huruf mim yang mati, sebutannya yang sebetulnya ialah "HIM" bukannya "HEM". Untuk memastikan kesahihan sebutannya tidak dapat tidak perlu mendengar dari sebutan guru al-Quran.
Saya berhenti disini dulu, akan disambung pada masa yang lain. Wassalam

Friday, 24 April 2009

Ayat Keenam Surah al-Fatihah

اهـدنا الصراط المسـتقيـم
Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh pembaca ketika membaca ayat ini.
Pertama: Ketika menyebut huruf ha yang mati pada perkataan "اهــدنا". Terdahulu ingin saya nyatakan tempat keluar bagi huruf ha. Ia keluar dari pangkal halkum sama seperti huruf hamzah. Tetapi sifat kedua-duanya berbeza. Kesilapan semasa menyebut huruf ha ini ialah menyebut huruf tersebut seolah-olah ianya keluar dari dada. Mungkin agak sukar untuk membezakan yang mana betul dan salah melainkan sekira melalui proses talaqqi dan mushafahah.
Kedua: Huruf sad pada perkataan "الصراط". Huruf sad keluarnya dari tengah lidah, manakala huruf sin pula keluar dari bawah lidah sama seperti huruf ز.
Ketiga: Huruf sin pada perkataan "المستقيم". Kesalahan pada huruf sin boleh dirujuk pada ayat pertama surah al-Fatihah.
Keempat: Huruf qof pada perkataan "المستقيم". Jangan menyebut huruf qof secara terlampau tebal dan tidak pula terlalu nipis. Kalau disebut secara terlalu tebal tidak menampakkan huruf qof tersebut bebaris dibawah dan kalau disebut terlampau nipis dibimbangi menyerupai huruf ك yang berbaris di bawah.
Kelima: Semasa berhenti pada akhir ayat ini, pastikan huruf mim itu dimatikan secara sepenuhnya dan tidak ada lebihan bunyi. Bunyinya bolehlah ditunjukkan seperti tulisan berikut "mim" dan bukannya "mim- me". Semua kesalahan ini tidak dapat dikesan melainkan jika kita mempelajari al-Quran secara berguru melalui proses talaqqi dan mushafahah. Wallahu A'lam

Saturday, 18 April 2009

Ayat Kelima Surah al-Fatihah

إياك نعبد وإياك نستعين

Kesalahan yang terkadang berlaku semasa kita membaca ayat ini adalah seperti berikut.

Pertama: Ketika menyebut huruf "ya" yang bertashdid pada perkataan "إياك". Ya yang bertashdid tidak perlu menyebutnya dengan begitu berat hingga menyebabkan sebutannya tidak tepat dan bercampur bunyinya dengan huruf jim.


Kedua: Semasa menyebut huruf ain yang mati pada kalimah "نعبد". Pembaca perlu berhati-hati dan cermat semasa menyebut huruf ain agar ianya di keluarkan dari makhrajnya yang sebenar. Ramai juga pembaca yang terkadang mengeluarkan huruf ain dari makhraj huruf hamzah. Selain itu terdapat juga tidak menyebut dengan tepat huruf ain, iaitu tidak mematikannya secara sepenuhnya. Ini biasanya dilakukan oleh pembaca-pembaca dari Arab,tak kurang juga orang Melayu yang melakukannya.


Ketiga: Menyebut huruf sin yang mati secara tidak tepat sehingga terdapat lebihan/lajakan dari huruf tersebut sekalipun ia bukan huruf qalqalah, iaitu pada perkataan "نستعين" . Bunyinya adalah seperti tulisan ini "nas" dan bukannya "nas-se". Sekali lagi ingin saya ingatkan agar berhati-hati semasa menyebut huruf ain pada perkataan ini. Selain itu perlu disamakan panjang dan pendek mad semasa berhenti pada ayat ini. Wallahu A'lam.

Saturday, 11 April 2009

Ayat Keempat Surah al-Fatihah

مالك يوم الدين

Kesalahan yang biasa berlaku semasa membaca ayat ini ialah:


Yang pertama pada sebutan huruf "lam" pada perkataan "مالـــك".Terdapat sebilangan pembaca yang tidak menyebut huruf "lam" yang berbaris bawah tersebut dengan sebetulnya. Ini menyebabkan bunyi "lam" yang berbaris bawah tersebut bercampur dengan bunyi huruf "nun" yang berbaris dibawah. Justeru perlu beringat semasa menuturkan huruf lam yang berbaris di bawah. Pada pandangan saya kesalahan ini mungkin ada kaitan dengan kedudukan lam dan nun yang amat dekat makhrajnya, bahkan ada yang mengatakan lam dan nun ini keluar dari makhraj yang sama. Sekali lagi saya ingatkan disini tentang perlunya menyamakan kadar harakat semasa berhenti pada perkataan "الدين".

Ayat Ketiga Surah al-Fatihah

الرحمن الرحيم


Terdapat beberapa kesalahan yang biasa berlaku semasa kita membaca ayat ini.

Kesalahan semasa menyebut huruf "ر" dan "ح" telah saya nyatakan semasa membincangkan ayat yang pertama. Perlu diingatkan agar kita menyamakan harakat (panjang dan pendek) semasa kita wakaf (berhenti) pada setiap akhir ayat. Jika sekiranya kita berhenti pada akhir ayat pertama dengan empat harakat maka begitulah seterusnya pada akhir ayat-ayat yang berikutnya.

Ayat Kedua Surah al-Fatihah

الحمد لله رب العالميـن



Beberapa kesalahan yang sering terjadi semasa membaca ayat ini.

Pertama ialah ketika menyebut huruf lam yang mati pada perkataan لحمد" . Jika tidak menyebutnya secara berhati-hati akan menyebabkan sebutannya bertukar daripada "al-hamdu" kepada "al-le-hamdu". Huruf "ح" telah disentuh oleh saya semasa membincangkan ayat yang pertama sebelum ini.



Kesalahan lain yang biasa terjadi ialah semasa menyebut huruf ain "ع" pada perkataan
"العــالمين". Sering kali pembaca terkeliru ketika menyebut huruf ain, menyebabkan mereka mengeluarkan huruf tersebut dari makhraj huruf "hamzah". Huruf ain sepatutnya dikeluarkan dari tengah halkum manakala hamzah pula keluar dari pangkal halkum. Sila rujuk tempat keluar huruf dalam pos yang pertama.

Monday, 23 March 2009

Guruku Syeikh Abdullah Jauhari Sayyid

Beliau meninggal dunia semasa sedang memberi tazkirah pagi di Masjid Jam'iyyah Shar'iyyah di Jala' yang terletak berhampiran dengan Ramses. Beliau semasa hayatnya selalu berpesan agar mendoakan beliau dengan doa ini

"اللهم اجعل ترب شيخى عبدالله الجوهرى فى بقيع"

آمـــين