Friday 24 April 2009

Ayat Keenam Surah al-Fatihah

اهـدنا الصراط المسـتقيـم
Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh pembaca ketika membaca ayat ini.
Pertama: Ketika menyebut huruf ha yang mati pada perkataan "اهــدنا". Terdahulu ingin saya nyatakan tempat keluar bagi huruf ha. Ia keluar dari pangkal halkum sama seperti huruf hamzah. Tetapi sifat kedua-duanya berbeza. Kesilapan semasa menyebut huruf ha ini ialah menyebut huruf tersebut seolah-olah ianya keluar dari dada. Mungkin agak sukar untuk membezakan yang mana betul dan salah melainkan sekira melalui proses talaqqi dan mushafahah.
Kedua: Huruf sad pada perkataan "الصراط". Huruf sad keluarnya dari tengah lidah, manakala huruf sin pula keluar dari bawah lidah sama seperti huruf ز.
Ketiga: Huruf sin pada perkataan "المستقيم". Kesalahan pada huruf sin boleh dirujuk pada ayat pertama surah al-Fatihah.
Keempat: Huruf qof pada perkataan "المستقيم". Jangan menyebut huruf qof secara terlampau tebal dan tidak pula terlalu nipis. Kalau disebut secara terlalu tebal tidak menampakkan huruf qof tersebut bebaris dibawah dan kalau disebut terlampau nipis dibimbangi menyerupai huruf ك yang berbaris di bawah.
Kelima: Semasa berhenti pada akhir ayat ini, pastikan huruf mim itu dimatikan secara sepenuhnya dan tidak ada lebihan bunyi. Bunyinya bolehlah ditunjukkan seperti tulisan berikut "mim" dan bukannya "mim- me". Semua kesalahan ini tidak dapat dikesan melainkan jika kita mempelajari al-Quran secara berguru melalui proses talaqqi dan mushafahah. Wallahu A'lam

Saturday 18 April 2009

Ayat Kelima Surah al-Fatihah

إياك نعبد وإياك نستعين

Kesalahan yang terkadang berlaku semasa kita membaca ayat ini adalah seperti berikut.

Pertama: Ketika menyebut huruf "ya" yang bertashdid pada perkataan "إياك". Ya yang bertashdid tidak perlu menyebutnya dengan begitu berat hingga menyebabkan sebutannya tidak tepat dan bercampur bunyinya dengan huruf jim.


Kedua: Semasa menyebut huruf ain yang mati pada kalimah "نعبد". Pembaca perlu berhati-hati dan cermat semasa menyebut huruf ain agar ianya di keluarkan dari makhrajnya yang sebenar. Ramai juga pembaca yang terkadang mengeluarkan huruf ain dari makhraj huruf hamzah. Selain itu terdapat juga tidak menyebut dengan tepat huruf ain, iaitu tidak mematikannya secara sepenuhnya. Ini biasanya dilakukan oleh pembaca-pembaca dari Arab,tak kurang juga orang Melayu yang melakukannya.


Ketiga: Menyebut huruf sin yang mati secara tidak tepat sehingga terdapat lebihan/lajakan dari huruf tersebut sekalipun ia bukan huruf qalqalah, iaitu pada perkataan "نستعين" . Bunyinya adalah seperti tulisan ini "nas" dan bukannya "nas-se". Sekali lagi ingin saya ingatkan agar berhati-hati semasa menyebut huruf ain pada perkataan ini. Selain itu perlu disamakan panjang dan pendek mad semasa berhenti pada ayat ini. Wallahu A'lam.

Saturday 11 April 2009

Ayat Keempat Surah al-Fatihah

مالك يوم الدين

Kesalahan yang biasa berlaku semasa membaca ayat ini ialah:


Yang pertama pada sebutan huruf "lam" pada perkataan "مالـــك".Terdapat sebilangan pembaca yang tidak menyebut huruf "lam" yang berbaris bawah tersebut dengan sebetulnya. Ini menyebabkan bunyi "lam" yang berbaris bawah tersebut bercampur dengan bunyi huruf "nun" yang berbaris dibawah. Justeru perlu beringat semasa menuturkan huruf lam yang berbaris di bawah. Pada pandangan saya kesalahan ini mungkin ada kaitan dengan kedudukan lam dan nun yang amat dekat makhrajnya, bahkan ada yang mengatakan lam dan nun ini keluar dari makhraj yang sama. Sekali lagi saya ingatkan disini tentang perlunya menyamakan kadar harakat semasa berhenti pada perkataan "الدين".

Ayat Ketiga Surah al-Fatihah

الرحمن الرحيم


Terdapat beberapa kesalahan yang biasa berlaku semasa kita membaca ayat ini.

Kesalahan semasa menyebut huruf "ر" dan "ح" telah saya nyatakan semasa membincangkan ayat yang pertama. Perlu diingatkan agar kita menyamakan harakat (panjang dan pendek) semasa kita wakaf (berhenti) pada setiap akhir ayat. Jika sekiranya kita berhenti pada akhir ayat pertama dengan empat harakat maka begitulah seterusnya pada akhir ayat-ayat yang berikutnya.

Ayat Kedua Surah al-Fatihah

الحمد لله رب العالميـن



Beberapa kesalahan yang sering terjadi semasa membaca ayat ini.

Pertama ialah ketika menyebut huruf lam yang mati pada perkataan لحمد" . Jika tidak menyebutnya secara berhati-hati akan menyebabkan sebutannya bertukar daripada "al-hamdu" kepada "al-le-hamdu". Huruf "ح" telah disentuh oleh saya semasa membincangkan ayat yang pertama sebelum ini.



Kesalahan lain yang biasa terjadi ialah semasa menyebut huruf ain "ع" pada perkataan
"العــالمين". Sering kali pembaca terkeliru ketika menyebut huruf ain, menyebabkan mereka mengeluarkan huruf tersebut dari makhraj huruf "hamzah". Huruf ain sepatutnya dikeluarkan dari tengah halkum manakala hamzah pula keluar dari pangkal halkum. Sila rujuk tempat keluar huruf dalam pos yang pertama.